1 December 2011

Risiko.

Assalamualaikum...

Bercerita tentang risiko, tentu sepanjang masa setiap individu akan terdedah kepada risiko sama ada kecil atau pun besar. Saya tergerak untuk menulis tentang risiko selepas menghadiri kelas ENT300. Menurut lecturer subjek tersebut, En. Abdul Razak, sepanjang hidup kita sebagai manusia akan terdedah kepada risiko. Dalam perniagaan, jangan anggap risiko sebagai bala. Tetapi anggaplah risiko sebagai rezeki. RISK = RIZK.

So, bila difikir-fikirkan, ada betul kata-kata lecturer tu. Setiap masa kita terdedah kepada risiko. Bagi diri saya sendiri, saya terdedah kepada risiko tergelincir di bilik air, tersepit pintu, tersekat dalam lif yang rosak, jatuh tangga, kemalangan jalan raya, dan banyak lagi sepanjang perjalanan ke kampus.

Dalam perniagaan pula, besar risiko untuk mengalami kerugian. Makanya, jadikanlah ia sebagai satu cabaran dalam perniagaan. Hadapi dengan tenang. Hidup tanpa cabaran umpama masakan tanpa garam. Itu perumpamaan yang sering saya baca dan dengar.

Oleh itu, jadilah seorang yang berani dalam menempuh kehidupan yang penuh dengan risiko. Sesungguhnya setiap yangberlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Nota kaki : Cerita Final Destination tu bukan mengelak risiko, tapi menolak takdir. Eh, yeke?  

5 November 2011

Bagusnya air sejuk!!!

Assalamualaikum...


Siapa cakap air sejuk tak bagus di amalkan? Siapa kata air sejuk hanya memudharatkan? Mari kita sama-sama menambah ilmu dan info mengenai AIR SEJUK.


Saintis boleh hasilkan macam-macam formula, cairan dan macam-macam lagi, tapi zat dalam ais tidak mampu dihasilkan oleh mana-mana saintis.

Kalau rasa susah tidur, mandi atau minum air sejuk dapat memudahkan tidur seseorang. Orang yang tidur dalam keadaan sejuk dan berselimut untuk memanaskan badan adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan. =)

Yang ni saya patut cuba. ***Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan. Sejak akhir-akhir ni saya cepat lupa. Kene kunyah ais ni. Eh! Yeke?

Mengunyah ais dapat menguatkan gigi, meningkatkan kecerdasan fikiran dan kepantasan pergerakan. (tapi kalau sejuk-sejuk berenang boleh kejang ok!) . Jangan terkejut, makan aiskrim secara perlahan-lahan dan berterusan dapat menghilangkan batuk berbanding makan ubat batuk yang hanya melegakan batuk buat sementara.

Ais SANGAT diperlukan oleh ATLIT sukan. Ok. Yang ni saya akui sebab saya dah pernah berdepan dengan situasi atlit nak ais! Hehe! Air sejuk atau ais dijadikan bahan perencat untuk demam panas yang keterlaluan sehingga mengakibatkan sawan. Air sejuk juga salah satu terapi untuk menguatkan tulang yang pernah patah. 

Info lain ialah seperti di bawah :
  • Secara psikologi, air sejuk amat ditakuti oleh pesakit yang mengalami gangguan jin dan makhluk halus.
  • Air sejuk mengharmonikan.
  • Air sejuk menguatkan tulang bayi.
  • Air sejuk boleh mengembalikan semangat orang sperti orang yang baru lepas pengsan, gila, atau koma.
  • Molekul atom air sejuk lebih stabil.
Lebih info, sila rujuk SINI.

Nota kaki : Pagi-pagi minum air sejuk, boleh mnguatkan perut. Hehe! Dah boleh buat alasan makan aiskrim masa demam dan batuk ni =)

3 November 2011

Zaman kejatuhan

Assalamualaikum...


"Kegagalan adalah kesempatan untuk memulai kembali dengan lebih cermat".

Setiap orang pasti akan merasai walau sekali, zaman kejatuhan dalam hidup mereka. Tahap dimana kita rasa sangat teruk, sangat gagal, dan sangat tidak berkeyakinan. Inilah zaman kejatuhan. Tetapi bukan bermaksud kegagalan kerana kegagalan sebenar ialah apabila kita tidak bangkit semula daripada kejatuhan tersebut.

Tidak dinafikan, tahun ini, atau semester ini merupakan semester yang agak malang buat diri saya. Sejak melangkah keluar daripada dewan peperiksaan saya sudah merasakan sesuatu yang tidak baik buat diri saya. Mungkin semua yang berlaku atas kesilapan dan kelalaian diri saya sendiri. Keputusan yang saya dapat adalah setimpal dengan usaha saya yang tidak seberapa. Sangat tidak wajar jika saya menyalahkan takdir Allah.

Sedih itu pasti, tetapi redha itu perlu. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku. InsyaAllah saya akan mengambil pengajaran. =) Buat pensyarah-pensyarah yang bertungkus-lumus mengajar saya, terima kasih di ucapkan. Terima kasih juga buat rakan-rakan yang banyak membantu. 

Saya juga ingin memohon maaf atas keputusan saya yang agak tidak memuaskan sesetengah pihak. Saya sudah mencuba sedaya upaya saya, dan saya sendiri berasa sangat tidak berpuas hati dengan prestasi saya sendiri. Saya yang sering lupa, susah mengingat. Adakah kerana kurang amal ibadah atau terlebih makan semut? Atau mungkinkah kerana ketidakpekaan diri saya sendiri. Ya. Mungkin inilah faktor utama saya susah menghafal. Maaf lagi sekali. Saya akan berusaha lebih keras semester depan. Doakan saya berjaya;)

Ok.

Abaikan bahasa baku dan bahasa melayu klasik di atas. Cuma baca dan fahami apa yang saya cuba sampaikan. Semester ini adalah zaman kecundang bagi saya. Saya kecundang dalam segala hal! Ok. Saya sedih. Tapi saya redha. Selamat malam.


Nota kaki : Doakan kejayaan saya walaupun dengan hanya sebaris ayat, "semoga berjaya". 

30 October 2011

Perbandingan? Tak perlu...

Assalamualaikum...

Kita, MANUSIA dijadikan sama tetapi berbeza antara satu dengan yang lain. Apa maksud sama tetapi berbeza? Sama. Kita dikurniakan sepasang mata, sepasang telinga, hidung, mulut, tangan, kaki, dan satu hati. Berbeza. Setiap antara kita ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Si A suara sedap tapi tak pandai menyanyi, si B suara biasa je tapi bila menyanyi semua terpegun. Si C pula suara sedap, nyanyi pun merdu je. Ada pulak, suara entah apa-apa, bila menyanyi kalah katak panggil hujan. Tapi tak pe, berani mencuba tak salah.=P

Ada pulak sesetengah manusia ni, sibuk membandingkan diri sendiri dengan orang lain. 

Kenapa aku tak cantik macam dia?

Kenapa aku tak kaya macam dia?

Dia pakej lengkap, macam artis.

Aku teringin nak jadi macam dia...

Kadang-kadang, bila tengok orang yang cantik-cantik, cun-cun, kacak bergaya, terlintas dalam fikiran. Dia ada mata, saya pun ada mata. Dia ada hidung, hidung saya pun tak cacat. Dia ada mulut? Saya pun ada mulut dan cukup semuanya. Tapi, kenapa dia cantik? Kenapa? Kenapa, dan kenapa...
Bila lama-lama saya tenung muka orang tu, akhirnya saya dapat jawapan...

KITA DIJADIKAN OLEH ALLAH BERBEZA ANTARA SATU SAMA LAIN! ITULAH TANDA KEKUASAAN ALLAH...

Sikit atau banyak, pasti ada perbezaan antara manusia. Kita rasa terhina dan rasa terperosok bawah dapur kayu api (perumpamaan terlebih) sebab kita bandingkan diri kita dengan orang yang cantik amat dan kaya amat selayak artis. Memang sampai ke tua la kita tak kan rasa puas hati dan bersyukur. Cuba sesekali bandingkan diri kita dengan orang-orang yang kurang bernasib baik. Mesti kita secara automatiknya menarik nafas lega sambil mengurut dada mengusap muka dan bersyukur kita masih bernasib baik. Kalau tak nak pun sekurang-kurangnya bersyukurlah kita masih diberi peluang menyedut oksigen sampai saat ni. 

Tapi, semua pakej-pakej tu tak penting. Yang penting hati. Kalau hati bersih, baik, tak perlu cantik semua tu. Sebab apa? Sebab cantik tu subjektif. Cantik bukan jaminan cium bau Syurga, dan tak cantik bukan bermakna bakal dicampak ke Neraka. Sedangkan manusia dijadikan saling melengkapi, kenapa kita perlu risau tak tentu hala? Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Tetapi ada ke dinyatakan, lelaki yang kacak hanya untuk perempuan yang cantik, dan sebaliknya? 

No.

Jadinya, tiada sebab untuk kita bandingkan diri kita dengan orang lain. Yang kita perlu lakukan ialah berusaha untuk jadi sebaik dia. Bukan asyik duduk puji orang tu cantik, orang ni hensem, macam saya selalu buat tu. Sebab, tak semua yang kita suka, kita rasa membahagiakan tu baik untuk kita. Kadangkala ia menjadi racun hidup kita.

“Tak semua yang indah tu membahagiakan, kadang-kadang ia hanya indah di anak mata, bila di
tangan sendiri ia berubah warna.” – DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Nota Kaki : Tadi termenung kejap tengok muka someone ni. Cantik betul. Sebab tu tergerak nak update pasal ni. Konon nak sedapkan hati. Abaikan. Haha! So, betulkan kalau saya salah ok? 

:: Gambar hiasan. Ok, dia memang cantik. fullstop. ::

26 October 2011

Kenangan ber-'KARISMA' di UiTM Segamat

Assalamualaikum...


     Pada 17-23 Oktober, UiTM Segamat telah menjadi tuan rumah bagi Karnival Sukan Malaysia (KARISMA). Banyak acara sukan yang dipertandingkan. Antaranya, bola sepak, ragbi, bola baling, bola tampar, bola jaring, hoki, golf, tenis, badminton, petanque, silat, taekwando, dan indoor games.

Banyak ragam pelajar yang dapat saya lihat sepanjang KARISMA. Ops! Jangan salah faham, saya bukanlah atlet, tetapi sekadar sukarelawan KARISMA. =P Walaupun hanya sukarelawan, banyak pengalaman baru yang saya dapat di sana. Lebih-lebih lagi pengalaman melihat orang cedera. Hehe! Pengalaman ke tu? Boleh la~ Sebenarnya, tujuan utama saya dan beberapa orang rakan daripada Larkin adalah untuk menjalani ujian kenaikan bengkong. Tetapi, lain pula jadinya apabila kami terpaksa meluangkan sebahagian besar masa latihan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai sukarelawan medic KARISMA.

     Tidak dinafikan, memang susah nak bahagikan masa untuk bekerja dan untuk berlatih. Kami cuma ada waktu malam yang singkat untuk berlatih. Bukan saya mahu menyalahkan keadaan, mungkin kami yang kurang bijak mengatur masa, jadi ujian sedikit kelam kabut dengan situasi kami yang kurang bersedia. Insya-Allah perkara tersebut akan menjadi pengajaran di masa akan datang.

Berbalik kepada tajuk, kenangan ber-'KARISMA'. =) Banyak dan tak mungkin dapat di Larkin. Antaranya, berjalan kaki dari Kolej Intan ke Penawar, Padang Baiduri dan Suluk Belikung. Fuh! Serius menguji kesabaran dan saya sangat bersyukur di tempatkan di Larkin, Kampus Bandaraya. Kecil dan jimat. Jimat ape? Jimat tenaga. Haha! Pasal makan, not bad lah...

     Hari pertama bertugas, saya diarahkan bertugas di padang ragbi. Saya? Perempuan? Ragbi? Silap besar. Hasilnya, saya hanya duduk di tepi padang bersilang kaki dengan muka tak faham sambil mengarah itu ini. Maaf ye kawan. Itu je yang saya mampu memandangkan yang bermain adalah lelaki. Hari kedua, YES! Saya diarahkan sekali lagi ke padang ragbi, dan perkara yang sama berulang kembali. Maaf sekali lagi!

Saya teruja ketika hari pembukaan. Kenapa? Sebab, tiba-tiba saya rasa saya seperti berada di zoo. Ops! Ayat sopan, di dunia haiwan. Nak tahu kenapa?





See? Ade kerbau, burung, harimau, dan gajah. Comelnye!!! Haha! Saya tak tipu pasal dunia haiwan ok. Nak tengok perbarisan kontijen daripada Johor?

:: Kontijen UiTM Johor ::

Ok. Hari seterusnya pula, saya bertugas untuk acara silat olahraga. Pada mulanya saya agak terpinga-pinga kerana tidak faham cara pengiraan markah. Tapi rasanya saya cuma perlu faham tentang kecederaan mereka je kot. Hehe! Kaki bengkak. Nak ais? =P



:: Makanan ketika lapar dan mengantuk ::

:: Peserta yang cedera. Bungkus dengan AIS~ ::

:: Pemenang ::

:: Keputusan ::

Yeah! Johor no 2!! Tahniah! Gembira macam sendiri yang main. Haha! Ok. Habis cerita tentang tugas. Bercerita pula tentang staf di Klinik Penawar. Seriously, sangat sporting! "Adik kalau nak makan ke, nak buat air ke, pegi je kat pantry", "adik kalau nak tidur pegi la masuk kat wad belakang tu". Ha, sporting kan? Sampaikan kami dah terbuat klinik tu macam rumah kami. Maaf! Tak caye?

:: Amboi...meriah! ::

:: Pegawai di klinik ::

Kalau nak cerita, memang tak kan habis. Nama pun kenangan kan. Ops! Lagi satu, kalau ada yang manis, tentu lah ada yang pahit. Apa yang pahit? Sebenarnya, takde lah pahit sangat pun. Tapi sebagai manusia, rasa tak puas hati tak kan pernah lenyap. Betul tak? 

Honestly, saya sangat marah dekat someone yang pinjam baju saya. Bukan saya nak perasan bagus sampai baju saya orang tak boleh pakai. Bukan. Cuma saya nak pesan, kalau pinjam barang orang, pastikan pulang dengan keadaan asal. Bukan bercerai berai. Orang yang memberi pinjam tentulah dah beri sepenuh kepercayaan yang si peminjam akan jaga dengan elok. Jadinya, jangan lah jahanamkan kepercayaan orang. Tapi jangan risau sebab marah saya tak lama. Lain kali buatlah lagi. InsyaAllah saya seligi kepala. Haha!

     Ok lah. Rasanya cukuplah setakat ni. Jerawat memang sakit kan? Tapi patah kaki lagi sakit kot. Huh! Tak seteruk patah hati. Apa-apa sakit pun...NAK AIS? Haha!

:: Sebahagian daripada KAMI ::

:: Bersedia untuk pulang ::

Nota Kaki : Abaikan gambar yang kabur. Biasalah henfon murah~ Eceh tacing! 

:: Tu dia! UiTM di hatiku! Thnx PakCik Google! ::

28 September 2011

Rancang kematian?

Assalamualaikum...

"Orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya."

Rancang kematian? Dengan apa? Pistol? Parang? Senapang gajah? Atau terjun bangunan? Minum racun? Haish! Memang tak lah! Maksudnya di sini...---> Merancang kematian supaya mati dalam kebaikan dan tidak membiarkan kehidupan berjalan begitu sahaja tanpa berusaha untuk mengisi dengan kebaikan. Jadinya, nanti ringanlah sikit azab di akhirat... InsyaAllah~

     Hidup dan mati ialah dua perkara yang JAUH berbeza. Sebab? Ketika kita masih hidup, kita boleh melakukan pelbagai perkara. Kita boleh melompat, berlari, menyanyi, makan, minum, berdating...ops! Dan yang paling penting, kita masih boleh bertaubat dan melakukan amal kebaikan.

Sebaliknya...

     ...mati pula ialah penutup dan pemutus segala-galanya, termasuklah telefon mudah alih yang canggih berteknologi nano, laptop apple, emas dan harta setinggi gunung Tahan, dan tak terkecuali juga suami sekacak dan sebaik Seth Tan dan isteri secantik, semanis Nora Elena. =P Mati memutuskan hubungan kita dengan keluarga, mati menghentikan kita daripada amal-amal kita, mati menutup pintu taubat kita, dan mati menutup ruang untuk kita membetulkan segala salah silap serta menambah amal kita. Mati akan melontarkan kita ke satu alam; alam kubur, satu persinggahan, sebelum kita dibawa berkumpul di Padang Mahsyar dan dihitung dengan Mizan Allah.

:: Gambar Hiasan ::

Hanya 3 perkara di dunia yang masih kekal berhubung dengan kita selepas mati :
  • Sedekah jariah yang kita lakukan, seperti membuat masjid, jalan raya, sekolah, dan sebagainya yang bermanfaat.
  • Ilmu yang bermanfaat yang kita sebarkan dan ajarkan kepada orang lain, dan ilmu tersebut masih diamalkan.
  • Doa daripada anak-anak yang soleh.
Tiga amal ini akan terus memberatkan amal kita, walaupun kita telah mati. Selagi tiga benda ini berjalan, kita akan mendapat pahala seperti kita beramal ketika masih hidup. 

Ada pujangga berkata :

"Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, apabila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya."

Hidup ini sebentar, mati itu juga sebentar. Mati lebih pendek masanya daripada hidup. Tetapi, kehidupan selepas mati itulah yang kita mahukan. Sebab itulah mati perlu dipandang berat. Kematian ada dua jenis:
  • Husnul Khatimah (penamat yang baik)
  • Su'ul Khatimah (penamat yang buruk)
Mati secara Husnul Khatimah ialah mati dalam keadaan beriman kepada Allah, dengan kehidupan yang Amal Ma'ruf, Nahi Munkar. Manakala mati secara Su'ul Khatimah pula ialah mati dalam keadaan ingkar kepada Allah, dengan kehidupan yang ingkar kepada perintah Allah dan melakukan larangan Allah.

Mati bagaimana yang anda mahukan? Hidup itu memang, tetapi mati itu pasti!

Nota kaki : DaripadaNya kita datang dan kepadaNya jugalah kita kembali ;)

:: Gambar Hiasan ~abaikan makhluk yang tersenyum tu;P ::


16 September 2011

Makin bayar, makin bertambah??



Assalamualaikum...




Ali mahu beli sepasang kasut berharga RM97 tapi tiada duit. Ali pinjam duit ibu RM50 , dan ayah RM50. Sekarang Ali ada RM100. Ali beli kasut itu dan baki duit Ali ada RM3. Ali pulangkan RM1 pada ibu dan RM1 pada ayahnya. Sekarang hutang Ali dengan ibu dan ayah RM49. Dalam tangan Ali tinggal RM1. Masalahnya RM49 + 49 = RM98. campur RM1 dalam tangan Ali jadi RM99. Mana RM1 lagi?




__________________________________________________




Baiklah. Kali ni, saya nak ajak anda semua selesaikan masalah matematik ni. Memandangkan masalah yang boleh dianggap teka-teki ni dah lama saya dengar. Dah lama keluar. Sampai dah kecoh-kecoh, dah senyap, dan dah kecoh semula. Oleh itu, marilah kita sama-sama selesaikan supaya tiada lagi kekecohan dan kekeliruan di masa akan datang.




Sebelum ni, saya pun agak keliru dengan permasalahan ni. Agak rumit juga nak diselesaikan. Tapi bila difikirkan dengan tenang (cewah!) akhirnya saya rasa saya dapat selesaikan masalah ni. Sebenarnya tak adalah rumit sangat pun. Cuma nak tengok tahap kepekaan kita je. Tak percaya? Jom baca sambil kerah otak untuk berfikir.




Kasut = RM97




Hutang dengan ibu = RM50




Hutang dengan ayah = RM50




Jumlah hutang =RM100




Beli kasut : RM100 - RM97

Baki : RM3




Penyelesaian kepada baki yang RM3 :




Situasi PERTAMA -----> Ali ambik RM3 lalu simpan ke dalam poket atau tabung lalu berkata kepada ibu dan ayahnya, "Ibu, ayah, hutang Ali yang RM50 setiap sorang tu, nanti Ali bayar ye?"




Situasi KEDUA -----> Ali guna duit Ibu sebanyak RM50, dan duit ayah RM47 lalu berkata kepada ibu dan ayahnya, "Ayah, Ali bayar RM3 dulu ye. Bakinya Ali bayar kemudian. Ibu, ibu punya duit nanti Ali bayar ye."




*******************************************************************************




Ok STOP. Itu kalau masalahnya adalah RM3. Tetapi, masalah sebenar ialah, RM49 + 49 = RM98. campur RM1 dalam tangan Ali jadi RM99. Mana RM1 lagi?




Mana RM1?




Baiklah. Mari kita fikir baik-baik. Konsep membayar hutang ialah, MAKIN BAYAR MAKIN KURANG. So, kenapa masih mahu tambahkan RM98 menjadi RM99, sedangkan Ali membayar hutang. Sepatutnya di tolak RM1 tersebut lalu menjadi RM97. Dan RM97 itu ialah harga kasut pembelian Ali.




Satu perkara yang mustahil untuk Ali lakukan ialah membayar sama rata hutangnya dengan menggunakan baki RM3 tersebut tanpa ada nilai SEN. Kecualilah Ali bayar RM1.50 kepada ibu, dan RM1.50 kepada ayah. So, tiada seSEN pun yang tinggal pada Ali.




Hutang dengan ibu = RM50 - RM1.50

= RM48.50




Hutang dengan ayah = RM50 - RM1.50

= RM48.50




Baki hutang = RM48.50 + RM48.50

= RM97 (harga kasut pembelian Ali)










Ok! DONE =)




Nota Kaki : Semua masalah pasti ada jalan penyelesaian. Mungkin ada penerangan yang lebih mudah? Kongsi-kongsikanlah... :)

14 September 2011

Selami kehidupan di asrama

Assalamualaikum...


P R O L O G

....bising la...xboleh tidur. Korang! Selipar tu susun boleh tak? Dah malam-malam pun bising lagi. Tak tau ke orang nak tidur ke, nak study ke... Diorang ni, dah tau pinjam tak tau pulang la... Kalau tak bagi kata kita kedekut... bkas ni knape buang kat sini? Nanti semut kang bising pulak..tensionnye!

___________________________________________________

Baik. Ceritanya sekarang, saya nak bagi tips sikit macam mana nak sesuaikan diri dengan kehidupan di asrama yang penuh dengan segala macam ragam manusia.

Sabar. Yang ni memang haruslah kan. Mana mungkin orang yang tak tau sabar boleh tahan duduk di asrama. Kalau ada yang bergurau dengan gurauan yang agak menusuk kalbu, silalah sabar, sabar, dan sabar. Seperti kata ahli dorm saya, "Tak boleh bergurau, sila duduk hutan". FAHAM?

Ikut rentak kawan-kawan. Maksud saya, just follow them. Kalau mereka bising, silalah bising sama, kalau mereka senyap, silalah senyap. Unless, you memang tak kisah apa kata orang. Macam saya. Haha~ Saya sangat tidak mementingkan apa kata orang tentang diri saya. Yang penting saya happy. Tapi bukanlah bermakna saya tak jaga hati orang. Kalau rasa di rumah kurang perhatian daripada keluarga, apa kata kalau ambil peluang masa bersama dengan rakan-rakan untuk bergelak ketawa, bersuka ria. ;)

Sharing is caring. Kalau dah namanya tinggal di asrama, hostel, haruslah kena kongsi harta benda. Itu pun kalau terdesak. Janganlah jadi kedekut sebab perangai kedekut sangat menjengkelkan. Bukanlah maksud saya semua harta benda. Tapi takkan la setakat roti dua tiga keping pun tak boleh kongsi? Apalah salahnya kalau pelawa ahli-ahli dorm makan sama-sama. Mustahillah mereka nak makan lebih daripada tuan punya makanan kan? So, tepuk dada, tanya kawan sebelah, "Aku ni menjengkelkan tak?". ;p

Elakkan teguran dan bebelan yang tidak ketahuan hala tuju. Hah! Yang ni pastilah sesuatu yang amat merimaskan. Rasanya tak perlulah membebel kalau setakat nak bagitau benda remeh macam ikan sangat banyak tulang, so tak suka makan. Jangan buang bekas air kat dalam bakul sampah kerana dikhuatiri semut. Semut pun tau yang di buang tu haruslah air batu yang dah disedut rasa manisnya. Makanya, kebarangkalian untuk semut menginap amatlah ciput. Rasanya yang membuang tu pun budak dorm tu yang taw beza benda yang patut atau pun tak. So, adakah perlu bebelan sedemikian? Duduk atas katil, fikir diam-diam ok.

Elakkan perangai mementingkan diri. Sangat perlu dielakkan. Kenapa? Cuba fikir sejenak. Kalau anda biasa tidur jam 11, wajar atau tak orang lain perlu ikut tabiat anda yang tidur awal tu? Kalau dah namanya pelajar asrama, (bukan pelajar sekolah) mustahillah mereka akan tidur seawal jam 11malam. Paling awal pun mungkin jam 12. Dan anda yang tidur awal, adakah wajar untuk anda marah-marah jika bilik bising dan terang benderang? Jika ya, berikan sebab dan alasan yang munasabah dan jika tidak, sila ubah perangai anda. Kalau tak tahan dengan lampu yang terang  benderang tu, apa gunanya selimut setebal alam dan bantal berbiji-biji tu? Tutup muka, habis cerita. Kalau tak tahan dengan rasa panas kesan daripada lampu yang terang benderang, apa guna kipas kat hujung kaki? Buka kuat-kuat, peluk je kipas tu masa tidur. Mesti sejuk sampai pagi. :)

Saya bukan nak mencari salah sesiapa, tapi kalau ada yang terasa, "siapa makan cili, dia lah yang terasa pedas". Betul tak? Rasanya kalau tak puas hati, just bagitau. Kalau nak marah, luahkan je and habiskan masa tu juga rasa marah tu. Rasanya tak perlulah sampai naik status di laman sosial tentang amannya bilik tanpa kehadiran ahli bilik yang lain, dan tentang ketidakstabilan emosi dan lagi untuk menenangkan perasaan sendiri. Walaupun agak berkalis, tapi haruslah berkaitan dengan situasi semasa. Kalau tak, tak mungkinlah nak update status sedemikian.

So, sesiapa yang rasa sangat tertekan dengan situasi di asrama, silalah sedar bahawa anda tinggal di HOSTEL yang berkongsi bilik dengan ramai orang dan bukannya HOTEL untuk anda buat sesuka hati  tanpa fikirkan orang lain. Saya tau akan ada yang terasa hati, tapi mungkin ni merupakan salah satu medium untuk saya luahkan rasa tidak puas hati sebelum tahap kesabaran merundum ke tangga paling bawah. Diharapkan sesiapa yang berkenaan dapatlah merubah pemikiran dan menyelami kehidupan sebenar di asrama. Mungkin anda rasa rakan sebilik anda sekarang amat teruk, tapi adakah anda pernah terfikir bahawa dengan kelakuan anda yang aneh-aneh tu, tak mustahil anda akan dapat rakan dorm baru yang mungkin lebih teruk lagi?

Kalau mereka semua boleh sekepala kenapa anda mesti bawa haluan sendiri? Haruslah sama-sama susah dan senang. Barulah namanya roomate. Bukannya mereka keluar, kita masuk, mereka masuk, kita keluar, mereka bangun kita tidur, mereka tidur kita bangun, mereka solat kita tengok movie, mereka tengok movie kita baru nak solat. Tak ke songsang namanya tu? Haha! Baik! Dah cukuplah tu.

::Gambar hiasan::

Nota kaki : Maaf kalau ada yang terasa. Segala yang buruk datang dari kesilapan saya sendiri. Bukan niat nak menyindir, tapi sekadar memberi peringatan sebagai persediaan untuk mengharungi beberapa semester lagi di asrama. Just follow the wind bukan bermaksud anda umpama lembu di cucuk hidung, tapi untuk memberi keselesaan kepada diri sendiri. Fikir-fikirkanlah...=)

::Gambar hiasan::

10 September 2011

Malam Pendekar Gayong @ UiTM JB

Assalamualaikum...

Lokasi : Dewan Besar UiTM Kampus Bandaraya JB
Tarikh  : 7 September 2011 (Rabu)

Baik! Sekarang cerita bermula~

Rabu lepas, PSSGM UiTM JB dah anjurkan satu dinner; Malam Pendekar Gayong @ MPG. Majlis ni dianjurkan dengan tujuan nak meraikan dan memberi penghargaan kepada anak-anak Gayong UiTM JB.

Sepanjang menguruskan persiapan untuk dinner ni, memang tersangatlah banyak kekalutan yang berlaku dalam setiap biro. Masing-masing ada masalah sendiri. Biasalah, yang uruskan pun banyak kepala, makanya banyak lah idea yang perlu di ambil kira. Tersilap sikit, mau ada yang terasa hati. Apa-apa pun, kerjasama amat diperlukan. Apa yang penting? KERJASAMA! ~ni wonderpet yang cakap~ ;)

     Saya di amanahkan untuk uruskan bahagian cenderahati. Pada mulanya saya rasa cenderahati ni simple je. Tapi, baru saya sedar, semua benda perlukan ketelitian. Hah? Maksud saya, walaupun cenderahati tak sepenting biro makanan, tapi tetap terasa kesesakan dan kepayahannya bila tak dikelolakan dengan betul. Dari situlah timbul masalah tak cukup budgetlah, kedai tak terima orderlah, sponsor tak dapatlah... Fuh! Memang menguji kesabaran. Sampaikan saya terfikir, "Susah-susah guna je lah duit aku. Alah, duitkan boleh cari. Apalah sangat. Bukan boleh bawak mati". Hah! Saya bukan nak kata saya banyak duit atau saya nak tunjuk baik, tapi terus terang saya katakan, kalau saya ada duit, InsyaAllah saya tolong. At last, selesai juga bab hadiah. Saya dah bantu yang termampu, tapi budget still terlebih. Nak buat macam mana? Terpaksalah saya berunding dengan mereka yang berkenaan.

Cerita tentang semasa majlis, majlis berjalan dengan lancar walaupun sedikit kelam kabut di awal majlis. Almaklumlah, yang uruskan pun kanak-kanak baru belajar. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Majlis ni berjalan pun atas tunjuk ajar para gurulatih dan saudara seGayong daripada UiTM Segamat. Terima kasih daun keladi, esok lusa tolong lagi. =)

Anak-anak Gayong daripada UiTM Segamat turut menghantar lebih kurang 30 orang wakil untuk memeriahkan majlis kami. Terima kasih lagi sekali atas sokongan anda :) Turut hadir, koordinator kampus Larkin, PM Zaiton dan beberapa orang staff UiTM Kampus Larkin serta Pengerusi PSSGM Johor, Kapt Abdul Kudus. Beberapa orang wakil daripada kelab lain turut hadir bagi memenuhi jemputan.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan silat daripada anak-anak Gayong UiTM JB dan Segamat. Persembahan pentas tangan kosong, pentas parang dan serangan berantai dipersembahkan oleh wakil daripada UiTM Segamat manakala wakil UiTM JB membuat persembahan Bunga Tanjung dan Kombat.

Overall, semuanya berjalan dengan lancar, meriah dan yang paling penting, dapat mengukuhkan silaturrahim sesama anak Gayong. Semua orang gembira, makan pun sedap. Credit to Biro Makanan. Gimik pun boleh tahan. Publisiti tak kurang hebatnya. Siap dah tarik orang luar walaupun tak ramai, tapi cukuplah buat permulaan.


Ok, masa belek-belek gambar. =)

::VVIP yang hadir::

::Wakil Kelab::

::Sebahagian wakil UiTM Segamat::

::Pendekar UiTM Segamat::

::Persembahan Bunga Tanjung::

::Pentas Parang::

::UiTM JB::

::OUR FAMILY::

Nota kaki : "Silat warisan pusaka, khazanah bangsa, jatidiri terpelihara".





22 August 2011

Berguru dengan kehidupan

Assalamualaikum...

Setiap peristiwa, pahit atau manis, baik atau buruk, hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih, dan sakit untuk kita menerimanya. Oleh itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, muhasabahlah diri : Apakah hikmah disebalik semua itu?

     Anggaplah setiap sesuatu yang berlaku ke atas diri dan kehidupan kita ada tujuan tertentu, dengan ini hidup kita akan sentiasa tenang dan teratur. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup kita adalah 'mehnah' : didikan terus daripada Allah. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah didikan Allah untuk hambanya.

Jika seseorang datang dan membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang mengajar kita erti sabar. Jika kita terasa kesempitan wang, maka situasi itu sedang mengajar kita supaya berjimat cermat. Jika kita dikecewakan, maka ia mengajar kita supaya tidak terlalu berharap. Begitu juga hal-hal lain .

     Tujuan utama diberi cabaran dan dugaan dalam hidup adalah untuk mengubah dan mengajar kita berdepan dengan kehidupan. Hidup kita akan sentiasa berlaku perubahan yang berterusan dan perubahan tersebut berlaku melalui pengalaman yang kita lalui. Kita tidak boleh lari daripada masalah kerana orang yang lari daripada masalah ialah orang yang kalah.

Kita tidak boleh menentukan takdir, tetapi kita yang mentadbir diri kita sendiri sebagai khalifah. Lakukan sesuatu dengan tujuan. Jangan lakukan sesuatu atas dasar 'saja-saja' kerana hidup kita akan menjadi sia-sia. Orang yang mempunyai tujuan tidak akan mudah patah semangat. Oleh itu, belajarlah sesuatu daripada kehidupan dan pengalaman hidup sendiri, kerana setiap pengalaman pasti terselit suatu hikmah yang cukup besar. InsyaAllah...

Nota kaki : "We cannot direct the wind, but we can adjust our sail." ;)

17 August 2011

Awak tension? Saya lagi tension!

Assalamualaikum...

     Anda pernah rasa tertekan? Anda pernah rasa putus asa? Apabila anda berperasaan demikian, apakah yang anda lakukan? Lepaskan kemarahan kepada orang sekeliling. Adakah anda berasa puas selepas berbuat demikian? Jika anda katakan YA, itu bermakna anda telah terlalu mengikut nafsu.

     Seringkali kita merasa kitalah yang paling teruk dugaannya. Kitalah yang paling hebat tekanannya, dan kitalah orang yang paling sibuk di dunia. Tapi, pernahkah anda fikir bahawa masih terdapat orang yang lebih pedih jalan hidupnya, lebih dahsyat tekanannya, dan lebih padat jadualnya?

Kita sepatutnya bersyukur kerana masih mampu bernafas walaupun menerima dugaan yang sangat teruk, mengalami tekanan yang sangat hebat, dan tiada masa rehat. Ini menunjukkan bahawa kita masih mampu menghadapi segala kesusahan tersebut. Allah tidak mungkin akan menurunkan sesuatu kesusahan yang melebihi batas kemampuan hamba-Nya.

Sebagai seorang pelajar pula, kita sepatutnya menerima tugasan dengan ikhlas. Bukanlah sibuk mengadu kerja terlalu banyak sehingga tertekan. Sesungguhnya orang yang tidak belajar dengan bersungguh-sungguh ialah orang yang tidak takutkan Allah kerana menuntut ilmu merupakan satu amanah.

     Setiap manusia telah disediakan dengan dugaan yang sama rata oleh Allah S.W.T. Maka, kita tidak seharusnya membanding-bandingkan tahap kesusahan yang kita alami dengan orang lain. Allah Maha Adil. Oleh itu, bersabarlah dengan setiap dugaan dan cabaran kerana di akhirnya pasti akan ada kemanisan yang menanti. InsyaAllah...

Nota kaki : Allah menurunkan kesusahan untuk menguji tahap kesabaran hamba-Nya...

7 August 2011

Beza manusia dengan kuda perang

Assalamualaikum...

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."
"Demi kuda perang yang berlari kencang sekencang-kencangnya."
"Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan ladam kakinya)."
"Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu pagi."
"Sehingga menerbangkan debu-debu."
"Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh."
"Sungguh manusia itu sangat ingkar (tidak bersyukur) kepada Tuhannya."
"Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keingkarannya."
"Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar berlebihan."
"Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan."
"Dan apa yang tersimpan di dalam dada dikeluarkan?"
"Sungguh, Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka."
(Al-'Adiyat: 1-11)

KUDA PERANG

  • Digunakan untuk berperang dan menemani tuannya di medan perang.
  • Makanan harian : rumput kering dan air mentah.
  • Berisiko besar untuk kehilangan nyawa di medan perang.
MANUSIA

  • Mempunyai akal untuk berfikir.
  • Mendapat rezeki makanan yang enak-enak.
  • Hidup yang lengkap dengan segala nikmat.
Apa bezanya kuda perang dengan manusia? Bezanya mereka ialah, kuda perang, sanggup bermati-matian demi tuannya. Namun, adakah semua manusia sanggup bermati-matian demi Tuhannya? Kuda perang, walaupun cuma di beri makan rumput kering dan air mentah kadangkala tidak dilayan dengan sepatutnya, tetapi tetap melakukan yang terbaik di medan perang tanpa sebarang bantahan atau protes. Adakah manusia akan memberikan yang terbaik jika pulangan yang mereka dapat tidak setimpal?


Ya! Manusia sememangnya makhluk yang tidak pernah cukup dengan nikmat dan jarang sekali bersyukur dengan nikmat Allah. Allah berikan nikmat yang sangat banyak kepada kita. Tetapi, kita seringkali melupakan-Nya dan meninggalkan segala perintah-Nya. Kuda perang yang dilayan ala kadar oleh tuannya, sanggup berjuang dan mati bersama-sama tuannya namun manusia lebih cintakan dunia daripada Allah yang mencipta dunia. Subhanallah~

Adakah kita layak dilayan dengan baik di akhirat kelak? Wallahu'alam...

Nota kaki : Manusia sepatutnya lebih taat berbanding kuda perang yang dicipta tanpa akal untuk berfikir.;)

4 August 2011

Bergantung tanpa kecewa!

Assalamualaikum...

     Ada waktu, saya sedih. Saya bukanlah seorang yang kuat setiap masa. Saya adalah seorang yang akan berlakon kuat sepanjang masa. Saya sentiasa berjaga-jaga agar sesiapa pun tidak akan sedar yang saya sedang lemah.

     Saat saya sedih, saya akan mencari tempat bergantung.Dulu, saya pernah bergantung harap dan mengadu masalah kepada ibu bapa. Sampai satu masa, ibu bapa saya tidak dapat mendengar aduan saya. Kemudian, saya beralih kepada nenek saya yang prihatin. Sampai satu saat, saya terpaksa lepaskan dia pergi. Saya bertemu pula dengan guru yang mengambil berat. Sampai satu ketika, mereka juga semakin jauh.

     Setelah hilang tempat mengadu, saya sandarkan harapan saya kepada sahabat. Dengan harapan, mereka akan bersama di saat susah atau senang. Tetapi harapan hanya tinggal impian. Sebaik-baik sahabat yang saya jumpa, masih tiada yang mampu bersama saya setiap masa. Akhirnya, saya tiada tempat untuk mengadu bila sedih. Saya sentiasa merasakan tiada siapa yang faham dan boleh membantu. Tiada siapa untuk saya bergantung harap. Saya tepu di satu sudut yang sempit.

Pada siapa saya patut bergantung harap dan serahkan kepercayaan saya? Saya tercari-cari jawapannya suatu masa dulu. Saya rasa, ramai yang berfikir seperti saya. Apabila terasa lemah atau sedih, mencari tempat untuk bersandar, tetapi tidak berjumpa. Hanya perasaan hampa, gundah, resah, dan tekanan yang semakin bermaharajalela. Hidup jadi tidak keruan dan terumbang-ambing.


"Demikianlah (kebesaran Allah), Dialah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al-Hajj 22: 62)

     Allah.

     Itulah jawapan yang saya jumpa. Setelah berfikir dan berfikir, tiada tempat yang boleh saya sandarkan dengan yakin dan tanpa ragu-ragu selain Allah.

Terima kasih, Allah!

Nota kaki : Kita perlu bergantung kepada yang kuat, bersandar pada yang kukuh, dan percaya pada yang benar. ;)

3 August 2011

Kalau runsing, lihat langit, ingat Allah...

Assalamualaikum...

"Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra'd : 28)

     Orang tua-tua pernah kata, kalau runsing, lihatlah langit. Pasti hati akan tenang. Betul atau tidak? Hanya dengan mendongak ke langit hati akan tenang? Bukan macam tu.. Maksud mendongak ke langit tu, kita menghayati ciptaan Allah. Dengan menghayati ciptaan Allah, hati yang serabut pasti akan tenang.

     Apabila kita mendongak ke langit, atau membuang pandang ke padang rumput yang luas dan hati menjadi tenang, bukan langit atau padang yang menenangkan, tetapi Allah yang memberi ketenangan kepada kita. Oleh itu, bersyukurlah adanya ciptaan Allah yang serba indah. Terdapat 2 jenis ciptaan Allah di muka bumi. Pertama, ciptaan secara langsung dan kedua, ciptaan secara tidak langsung.

Ciptaan secara langsung ialah bumi, langit, tumbuh-tumbuhan, hutan, sungai, laut, dan gunung-ganang. Manakala, ciptaan secara tidak langsung ialah yang di cipta melalui manusia seperti perabot, kenderaan, pakaian, bangunan, dan lain-lain. Manakah yang lebih menenangkan? Adakah dengan melihat lori, anda akan berasa nyaman? Atau melihat bangunan yang gah anda akan merasa tenang?

      Sudah menjadi fitrah dan lumrah manusia yang suka kepada ketenangan. Sudah tentu sungai, lautan dan alam semulajadi yang dijadikan pilihan untuk mendapatkan ketenangan. Was-was? Tepuk dada, tanya iman. :) Jika kita suka akan ciptaan Allah, apa salahnya kalau kita dekatkan lagi diri kita kepada Allah dengan mengamalkan zikrullah? Pasti hari-hari kita akan lebih lancar dan bermakna.

Nota kaki : Pandanglah langit yang luas tidak bertepi, ingatlah Allah yang bersifat Al-Wasi' (Yang Maha Meluaskan).InsyaAllah hati akan menjadi lebih tenang dan lapang. Ilmu dan rezeki akan bertambah luas... Amin...!

Keajaiban unta

Assalamualaikum...

"Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?" (Al-Ghasyiyah: 17)

Baca dan hayati beberapa 'keajaiban' unta sebagai pengajaran buat kita semua. Insya-Allah...

  • Bulu badan unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk, tetapi juga mencegah tubuhnya daripada kehilangan air.
  • Unta dapat menghalang badannya daripada berpeluh dengan cara meningkatkan suhu badannya sehingga 41 darjah celcius.
  • Bulu yang panjang pada hidung dan telinganya menjadi perisai daripada pasir dan debu padang pasir.
  • Unta mampu menghabiskan 30-50 kg makanan setiap hari jika ada makanan. Jika sebaliknya, unta mampu bertahan dengan hanya makan 2kg rumput sebulan.
  • Unta dapat hidup tanpa makanan dan air selama 8 hari di bawah suhu 50 darjah celcius.
  • Unta dapat meneguk air sebanyak 130 liter dalam jangka masa 10 minit (1/3 daripada jumlah berat badannya)

Nota kaki : Pada kehebatan penciptaan unta terdapat tanda-tanda kehebatan Penciptanya.

1 August 2011

Buah tembikai tawar

Assalamualaikum...

     Pada suatu hari, seorang suami telah pulang ke rumah dengan membawa sebiji tembikai yang dibelinya di pasar. Setibanya di rumah, si isteri membelah buah tembikai tersebut lantas merasa isi tembikai tersebut. Malangnya isi tembikai tersebut tawar dan tidak seperti yang di harapkan. Lantas si isteri merungut sepanjang hari tentang isi buah tembikai yang tawar.

Suami : Saya yang membeli tembikai itu di pasar.
Isteri   : Ya, saya tahu.
Suami : Awak rasa, semasa saya membeli tembikai di pasar tadi, saya ingin tembikai yang manis atau tawar?
Isteri   : Tentu awak mahu yang manis.
Suami : Penjual buah-buahan yang menjual tembikai ini mahu menjual tembikai yang manis atau yang tawar?
Isteri   : Tentulah dia mahu menjual yang manis.
Suami : Ketika pekebun menanam buah tembikai ini dulu, dia harapkan yang manis atau yang tawar?
Isteri   : Sudah pasti dia harapkan buah yang manis!
Suami : Ketika awak membelah buah tembikai ini tadi, awak membayangkan tembikai ini manis atau tawar?
Isteri   : Sudah tentu saya ingin yang manis, tetapi apa kaitan dengan pertanyaan ini?
Suami : Semua orang ingin yang manis. Jadi, semasa awak merungut marah-marah tadi, awak marahkan siapa? Marahkan saya yang membeli, penjual yang menjual, pekebun yang menanam, diri awak sendiri yang   membelah, atau Allah yang menentukan rasa tawar itu?

Adab ketika makan ialah jangan sesekali mempertikaikan rasa makanan tersebut. Jika tidak suka, tinggalkan kerana rezeki kita semua di tentukan oleh Allah sama ada sedap atau tidak makanan tersebut.



Nota kaki : Belajarlah bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang diturunkan walaupun rezeki tersebut hanya sebesar kuman.

MIMPI vs REALITI

Assalamualaikum...

     Mimpi dan realiti. Dua perkara yang berbeza. Mimpi dialami sewaktu tidur, manakala realiti kita jalani sewaktu sedar.Mana satu yang sesuai untuk dijadikan panduan? Mimpi atau realiti. Sudah terang lagi bersuluh, mimpi hanyalah sekadar mainan tidur dan pastinya akan lenyap sama sekali pabila sedar. Namun, realiti merupakan pahit, getir kehidupan yang terpaksa kita lalui seadanya sebagai manusia.

     Tapi ramai antara kita yang sering hanyut dibuai mimpi. Hanyut dalam khayalan dan bisikan syaitan. Terpedaya dengan mimpi yang kononnya manis dan katanya indah namun dusta semata-mata kerana mimpi adalah MAINAN TIDUR. Sedarlah bahawa realiti sekarang yang harus kita tempuh. Realiti masyarakat yang semakin lupa diri dan lupa daratan terutamanya dalam kalangan remaja.

     Semakin ramai yang terjebak dengan dadah, kelab-kelab, seks bebas tanpa batasan, lumba haram, judi, dan sebagainya. Atas sebab apa mereka jadi sedemikian rupa? Tak lain dan tak bukan, tentulah kerana mereka terlalu asyik dengan mimpi 'indah' mereka hingga tanpa sedar mereka telah tergelincir ke kancah maksiat. Di mana silapnya? Tepuk dada, tanya minda.

Nota kaki : Mimpi tak seindah realiti walau betapa pahit pun ia...