22 August 2011

Berguru dengan kehidupan

Assalamualaikum...

Setiap peristiwa, pahit atau manis, baik atau buruk, hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih, dan sakit untuk kita menerimanya. Oleh itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, muhasabahlah diri : Apakah hikmah disebalik semua itu?

     Anggaplah setiap sesuatu yang berlaku ke atas diri dan kehidupan kita ada tujuan tertentu, dengan ini hidup kita akan sentiasa tenang dan teratur. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup kita adalah 'mehnah' : didikan terus daripada Allah. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah didikan Allah untuk hambanya.

Jika seseorang datang dan membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang mengajar kita erti sabar. Jika kita terasa kesempitan wang, maka situasi itu sedang mengajar kita supaya berjimat cermat. Jika kita dikecewakan, maka ia mengajar kita supaya tidak terlalu berharap. Begitu juga hal-hal lain .

     Tujuan utama diberi cabaran dan dugaan dalam hidup adalah untuk mengubah dan mengajar kita berdepan dengan kehidupan. Hidup kita akan sentiasa berlaku perubahan yang berterusan dan perubahan tersebut berlaku melalui pengalaman yang kita lalui. Kita tidak boleh lari daripada masalah kerana orang yang lari daripada masalah ialah orang yang kalah.

Kita tidak boleh menentukan takdir, tetapi kita yang mentadbir diri kita sendiri sebagai khalifah. Lakukan sesuatu dengan tujuan. Jangan lakukan sesuatu atas dasar 'saja-saja' kerana hidup kita akan menjadi sia-sia. Orang yang mempunyai tujuan tidak akan mudah patah semangat. Oleh itu, belajarlah sesuatu daripada kehidupan dan pengalaman hidup sendiri, kerana setiap pengalaman pasti terselit suatu hikmah yang cukup besar. InsyaAllah...

Nota kaki : "We cannot direct the wind, but we can adjust our sail." ;)

17 August 2011

Awak tension? Saya lagi tension!

Assalamualaikum...

     Anda pernah rasa tertekan? Anda pernah rasa putus asa? Apabila anda berperasaan demikian, apakah yang anda lakukan? Lepaskan kemarahan kepada orang sekeliling. Adakah anda berasa puas selepas berbuat demikian? Jika anda katakan YA, itu bermakna anda telah terlalu mengikut nafsu.

     Seringkali kita merasa kitalah yang paling teruk dugaannya. Kitalah yang paling hebat tekanannya, dan kitalah orang yang paling sibuk di dunia. Tapi, pernahkah anda fikir bahawa masih terdapat orang yang lebih pedih jalan hidupnya, lebih dahsyat tekanannya, dan lebih padat jadualnya?

Kita sepatutnya bersyukur kerana masih mampu bernafas walaupun menerima dugaan yang sangat teruk, mengalami tekanan yang sangat hebat, dan tiada masa rehat. Ini menunjukkan bahawa kita masih mampu menghadapi segala kesusahan tersebut. Allah tidak mungkin akan menurunkan sesuatu kesusahan yang melebihi batas kemampuan hamba-Nya.

Sebagai seorang pelajar pula, kita sepatutnya menerima tugasan dengan ikhlas. Bukanlah sibuk mengadu kerja terlalu banyak sehingga tertekan. Sesungguhnya orang yang tidak belajar dengan bersungguh-sungguh ialah orang yang tidak takutkan Allah kerana menuntut ilmu merupakan satu amanah.

     Setiap manusia telah disediakan dengan dugaan yang sama rata oleh Allah S.W.T. Maka, kita tidak seharusnya membanding-bandingkan tahap kesusahan yang kita alami dengan orang lain. Allah Maha Adil. Oleh itu, bersabarlah dengan setiap dugaan dan cabaran kerana di akhirnya pasti akan ada kemanisan yang menanti. InsyaAllah...

Nota kaki : Allah menurunkan kesusahan untuk menguji tahap kesabaran hamba-Nya...

7 August 2011

Beza manusia dengan kuda perang

Assalamualaikum...

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."
"Demi kuda perang yang berlari kencang sekencang-kencangnya."
"Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan ladam kakinya)."
"Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu pagi."
"Sehingga menerbangkan debu-debu."
"Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh."
"Sungguh manusia itu sangat ingkar (tidak bersyukur) kepada Tuhannya."
"Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keingkarannya."
"Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar berlebihan."
"Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan."
"Dan apa yang tersimpan di dalam dada dikeluarkan?"
"Sungguh, Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka."
(Al-'Adiyat: 1-11)

KUDA PERANG

  • Digunakan untuk berperang dan menemani tuannya di medan perang.
  • Makanan harian : rumput kering dan air mentah.
  • Berisiko besar untuk kehilangan nyawa di medan perang.
MANUSIA

  • Mempunyai akal untuk berfikir.
  • Mendapat rezeki makanan yang enak-enak.
  • Hidup yang lengkap dengan segala nikmat.
Apa bezanya kuda perang dengan manusia? Bezanya mereka ialah, kuda perang, sanggup bermati-matian demi tuannya. Namun, adakah semua manusia sanggup bermati-matian demi Tuhannya? Kuda perang, walaupun cuma di beri makan rumput kering dan air mentah kadangkala tidak dilayan dengan sepatutnya, tetapi tetap melakukan yang terbaik di medan perang tanpa sebarang bantahan atau protes. Adakah manusia akan memberikan yang terbaik jika pulangan yang mereka dapat tidak setimpal?


Ya! Manusia sememangnya makhluk yang tidak pernah cukup dengan nikmat dan jarang sekali bersyukur dengan nikmat Allah. Allah berikan nikmat yang sangat banyak kepada kita. Tetapi, kita seringkali melupakan-Nya dan meninggalkan segala perintah-Nya. Kuda perang yang dilayan ala kadar oleh tuannya, sanggup berjuang dan mati bersama-sama tuannya namun manusia lebih cintakan dunia daripada Allah yang mencipta dunia. Subhanallah~

Adakah kita layak dilayan dengan baik di akhirat kelak? Wallahu'alam...

Nota kaki : Manusia sepatutnya lebih taat berbanding kuda perang yang dicipta tanpa akal untuk berfikir.;)

4 August 2011

Bergantung tanpa kecewa!

Assalamualaikum...

     Ada waktu, saya sedih. Saya bukanlah seorang yang kuat setiap masa. Saya adalah seorang yang akan berlakon kuat sepanjang masa. Saya sentiasa berjaga-jaga agar sesiapa pun tidak akan sedar yang saya sedang lemah.

     Saat saya sedih, saya akan mencari tempat bergantung.Dulu, saya pernah bergantung harap dan mengadu masalah kepada ibu bapa. Sampai satu masa, ibu bapa saya tidak dapat mendengar aduan saya. Kemudian, saya beralih kepada nenek saya yang prihatin. Sampai satu saat, saya terpaksa lepaskan dia pergi. Saya bertemu pula dengan guru yang mengambil berat. Sampai satu ketika, mereka juga semakin jauh.

     Setelah hilang tempat mengadu, saya sandarkan harapan saya kepada sahabat. Dengan harapan, mereka akan bersama di saat susah atau senang. Tetapi harapan hanya tinggal impian. Sebaik-baik sahabat yang saya jumpa, masih tiada yang mampu bersama saya setiap masa. Akhirnya, saya tiada tempat untuk mengadu bila sedih. Saya sentiasa merasakan tiada siapa yang faham dan boleh membantu. Tiada siapa untuk saya bergantung harap. Saya tepu di satu sudut yang sempit.

Pada siapa saya patut bergantung harap dan serahkan kepercayaan saya? Saya tercari-cari jawapannya suatu masa dulu. Saya rasa, ramai yang berfikir seperti saya. Apabila terasa lemah atau sedih, mencari tempat untuk bersandar, tetapi tidak berjumpa. Hanya perasaan hampa, gundah, resah, dan tekanan yang semakin bermaharajalela. Hidup jadi tidak keruan dan terumbang-ambing.


"Demikianlah (kebesaran Allah), Dialah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al-Hajj 22: 62)

     Allah.

     Itulah jawapan yang saya jumpa. Setelah berfikir dan berfikir, tiada tempat yang boleh saya sandarkan dengan yakin dan tanpa ragu-ragu selain Allah.

Terima kasih, Allah!

Nota kaki : Kita perlu bergantung kepada yang kuat, bersandar pada yang kukuh, dan percaya pada yang benar. ;)

3 August 2011

Kalau runsing, lihat langit, ingat Allah...

Assalamualaikum...

"Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra'd : 28)

     Orang tua-tua pernah kata, kalau runsing, lihatlah langit. Pasti hati akan tenang. Betul atau tidak? Hanya dengan mendongak ke langit hati akan tenang? Bukan macam tu.. Maksud mendongak ke langit tu, kita menghayati ciptaan Allah. Dengan menghayati ciptaan Allah, hati yang serabut pasti akan tenang.

     Apabila kita mendongak ke langit, atau membuang pandang ke padang rumput yang luas dan hati menjadi tenang, bukan langit atau padang yang menenangkan, tetapi Allah yang memberi ketenangan kepada kita. Oleh itu, bersyukurlah adanya ciptaan Allah yang serba indah. Terdapat 2 jenis ciptaan Allah di muka bumi. Pertama, ciptaan secara langsung dan kedua, ciptaan secara tidak langsung.

Ciptaan secara langsung ialah bumi, langit, tumbuh-tumbuhan, hutan, sungai, laut, dan gunung-ganang. Manakala, ciptaan secara tidak langsung ialah yang di cipta melalui manusia seperti perabot, kenderaan, pakaian, bangunan, dan lain-lain. Manakah yang lebih menenangkan? Adakah dengan melihat lori, anda akan berasa nyaman? Atau melihat bangunan yang gah anda akan merasa tenang?

      Sudah menjadi fitrah dan lumrah manusia yang suka kepada ketenangan. Sudah tentu sungai, lautan dan alam semulajadi yang dijadikan pilihan untuk mendapatkan ketenangan. Was-was? Tepuk dada, tanya iman. :) Jika kita suka akan ciptaan Allah, apa salahnya kalau kita dekatkan lagi diri kita kepada Allah dengan mengamalkan zikrullah? Pasti hari-hari kita akan lebih lancar dan bermakna.

Nota kaki : Pandanglah langit yang luas tidak bertepi, ingatlah Allah yang bersifat Al-Wasi' (Yang Maha Meluaskan).InsyaAllah hati akan menjadi lebih tenang dan lapang. Ilmu dan rezeki akan bertambah luas... Amin...!

Keajaiban unta

Assalamualaikum...

"Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?" (Al-Ghasyiyah: 17)

Baca dan hayati beberapa 'keajaiban' unta sebagai pengajaran buat kita semua. Insya-Allah...

  • Bulu badan unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk, tetapi juga mencegah tubuhnya daripada kehilangan air.
  • Unta dapat menghalang badannya daripada berpeluh dengan cara meningkatkan suhu badannya sehingga 41 darjah celcius.
  • Bulu yang panjang pada hidung dan telinganya menjadi perisai daripada pasir dan debu padang pasir.
  • Unta mampu menghabiskan 30-50 kg makanan setiap hari jika ada makanan. Jika sebaliknya, unta mampu bertahan dengan hanya makan 2kg rumput sebulan.
  • Unta dapat hidup tanpa makanan dan air selama 8 hari di bawah suhu 50 darjah celcius.
  • Unta dapat meneguk air sebanyak 130 liter dalam jangka masa 10 minit (1/3 daripada jumlah berat badannya)

Nota kaki : Pada kehebatan penciptaan unta terdapat tanda-tanda kehebatan Penciptanya.

1 August 2011

Buah tembikai tawar

Assalamualaikum...

     Pada suatu hari, seorang suami telah pulang ke rumah dengan membawa sebiji tembikai yang dibelinya di pasar. Setibanya di rumah, si isteri membelah buah tembikai tersebut lantas merasa isi tembikai tersebut. Malangnya isi tembikai tersebut tawar dan tidak seperti yang di harapkan. Lantas si isteri merungut sepanjang hari tentang isi buah tembikai yang tawar.

Suami : Saya yang membeli tembikai itu di pasar.
Isteri   : Ya, saya tahu.
Suami : Awak rasa, semasa saya membeli tembikai di pasar tadi, saya ingin tembikai yang manis atau tawar?
Isteri   : Tentu awak mahu yang manis.
Suami : Penjual buah-buahan yang menjual tembikai ini mahu menjual tembikai yang manis atau yang tawar?
Isteri   : Tentulah dia mahu menjual yang manis.
Suami : Ketika pekebun menanam buah tembikai ini dulu, dia harapkan yang manis atau yang tawar?
Isteri   : Sudah pasti dia harapkan buah yang manis!
Suami : Ketika awak membelah buah tembikai ini tadi, awak membayangkan tembikai ini manis atau tawar?
Isteri   : Sudah tentu saya ingin yang manis, tetapi apa kaitan dengan pertanyaan ini?
Suami : Semua orang ingin yang manis. Jadi, semasa awak merungut marah-marah tadi, awak marahkan siapa? Marahkan saya yang membeli, penjual yang menjual, pekebun yang menanam, diri awak sendiri yang   membelah, atau Allah yang menentukan rasa tawar itu?

Adab ketika makan ialah jangan sesekali mempertikaikan rasa makanan tersebut. Jika tidak suka, tinggalkan kerana rezeki kita semua di tentukan oleh Allah sama ada sedap atau tidak makanan tersebut.



Nota kaki : Belajarlah bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang diturunkan walaupun rezeki tersebut hanya sebesar kuman.

MIMPI vs REALITI

Assalamualaikum...

     Mimpi dan realiti. Dua perkara yang berbeza. Mimpi dialami sewaktu tidur, manakala realiti kita jalani sewaktu sedar.Mana satu yang sesuai untuk dijadikan panduan? Mimpi atau realiti. Sudah terang lagi bersuluh, mimpi hanyalah sekadar mainan tidur dan pastinya akan lenyap sama sekali pabila sedar. Namun, realiti merupakan pahit, getir kehidupan yang terpaksa kita lalui seadanya sebagai manusia.

     Tapi ramai antara kita yang sering hanyut dibuai mimpi. Hanyut dalam khayalan dan bisikan syaitan. Terpedaya dengan mimpi yang kononnya manis dan katanya indah namun dusta semata-mata kerana mimpi adalah MAINAN TIDUR. Sedarlah bahawa realiti sekarang yang harus kita tempuh. Realiti masyarakat yang semakin lupa diri dan lupa daratan terutamanya dalam kalangan remaja.

     Semakin ramai yang terjebak dengan dadah, kelab-kelab, seks bebas tanpa batasan, lumba haram, judi, dan sebagainya. Atas sebab apa mereka jadi sedemikian rupa? Tak lain dan tak bukan, tentulah kerana mereka terlalu asyik dengan mimpi 'indah' mereka hingga tanpa sedar mereka telah tergelincir ke kancah maksiat. Di mana silapnya? Tepuk dada, tanya minda.

Nota kaki : Mimpi tak seindah realiti walau betapa pahit pun ia...