4 August 2011

Bergantung tanpa kecewa!

Assalamualaikum...

     Ada waktu, saya sedih. Saya bukanlah seorang yang kuat setiap masa. Saya adalah seorang yang akan berlakon kuat sepanjang masa. Saya sentiasa berjaga-jaga agar sesiapa pun tidak akan sedar yang saya sedang lemah.

     Saat saya sedih, saya akan mencari tempat bergantung.Dulu, saya pernah bergantung harap dan mengadu masalah kepada ibu bapa. Sampai satu masa, ibu bapa saya tidak dapat mendengar aduan saya. Kemudian, saya beralih kepada nenek saya yang prihatin. Sampai satu saat, saya terpaksa lepaskan dia pergi. Saya bertemu pula dengan guru yang mengambil berat. Sampai satu ketika, mereka juga semakin jauh.

     Setelah hilang tempat mengadu, saya sandarkan harapan saya kepada sahabat. Dengan harapan, mereka akan bersama di saat susah atau senang. Tetapi harapan hanya tinggal impian. Sebaik-baik sahabat yang saya jumpa, masih tiada yang mampu bersama saya setiap masa. Akhirnya, saya tiada tempat untuk mengadu bila sedih. Saya sentiasa merasakan tiada siapa yang faham dan boleh membantu. Tiada siapa untuk saya bergantung harap. Saya tepu di satu sudut yang sempit.

Pada siapa saya patut bergantung harap dan serahkan kepercayaan saya? Saya tercari-cari jawapannya suatu masa dulu. Saya rasa, ramai yang berfikir seperti saya. Apabila terasa lemah atau sedih, mencari tempat untuk bersandar, tetapi tidak berjumpa. Hanya perasaan hampa, gundah, resah, dan tekanan yang semakin bermaharajalela. Hidup jadi tidak keruan dan terumbang-ambing.


"Demikianlah (kebesaran Allah), Dialah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al-Hajj 22: 62)

     Allah.

     Itulah jawapan yang saya jumpa. Setelah berfikir dan berfikir, tiada tempat yang boleh saya sandarkan dengan yakin dan tanpa ragu-ragu selain Allah.

Terima kasih, Allah!

Nota kaki : Kita perlu bergantung kepada yang kuat, bersandar pada yang kukuh, dan percaya pada yang benar. ;)

No comments: